Saturday 9 June 2012

BUDAYAKAN TEGUR MENEGUR DENGAN LEMAH-LEMBUT DAN BIJAKSANA


Firman Allah taala yang bermaksud: “Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan
hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..” (Surah An-Nahl: 125)

Sudah menjadi lumrah bagi setiap muslim yang benar-benar beriman kepada Tuhannya untuk merasa
cemburu terhadap kemungkaran yang berlaku dihadapan mata. Begitulah sepatutnya yang perlu ada
dalam setiap jiwa muslim hari ini. Merasa benci dan tidak setuju dengan ‘muhkhalafah syar`iyyah’ yang terjadi.

Kita semua juga mengetahui sepotong hadis Rasulullah s.a.w yang popular yang menyuruh kita
merubah dan memperbetulkan kesalahan dan kemungkaran dengan tangan atau kuasa jika kita punya kemampuan. Jika tidak, maka dengan lidah dan jika tidak mampu dengan pertuturan, maka dengan kebencian hati terhadap kemungkaran tersebut.
        Namun persoalan yang timbul ialah adakah seseorang itu boleh menegur sesuatu kesalahan dengan
semberono begitu sahaja tanpa memperdulikan adab-adab persaudaraan sesama muslim sewaktu menegur?

Mari kita kembali kepada maksud ayat di awal penulisan ini.
Jika merujuk kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ayat ini menyuruh para manusia
supaya menyebarkan dakwah dan memberikan nasihat kepada ‘orang-orang Islam’ secara khususnya
dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan penuh strategi. mestilah menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligus matlamat dakwah menjadi realiti dan terlaksana.

Al-Qurtubi menambah lagi bahawa hukum menasihati dan menegur sesama muslim secara lemah-lembut
dan bijaksana ini kekal sehingga hari kiamat. Namun hukum ini tidak berjalan ke atas golongan kafir kerana cara untuk ‘bermuamalah’ dengan mereka telah diterangkan oleh ayat-ayat yang menyuruh kita
memerangi mereka (ayat Qital).
Beginilah yang sepatutnya berlaku terhadap para manusia  ketika mereka menjalankan kerja-kerja mulia ini. Apabila mereka berhadapan dengan orang-orang
yang melakukan kesalahan atau maksiat di kalangan saudara mereka sesama muslim, mereka perlulah
menggunakan pendekatan positif dan bijaksana agar pihak yang ditegur mereka berhenti dan menginsafi
atas kesalahan mereka.

Janganlah kita menggunakan ‘teguran’ atau ‘nasihat’ itu sebagai jalan untuk membalas dendam kepada
seseorang. Bukankah itu menunjukkan yang kita
sedang menunggu-nunggu kesalahan orang? Sedangkan di dalam Islam, kita dituntut untuk sentiasa bersikap ikhlas dan amanah dalam setiap
nasihat dan teguran yang dibuat.

Apabila menegur, janganlah sekali-kali kita menggunakan bahasa dan
nada yang kasar. Jauhilah dari menegur seseorang itu di khalayak ramai. Kerana ini akan memalukan dan mengaibkan pihak yang ditegur. Carilah waktu yang sesuai untuk menegur. Bersemukalah dengan pihak berkenaan dan gunakan kata-kata lembut dan gaya bahasa yang boleh menawan hati dan perasaannya.

Perlu diingati bahawa walaupun Islam menggalakkan budaya tegur menegur di kalangan kita, tetapi itu
tidak bermakna bahawa teguran itu mesti dibuat secara langsung apabila sesuatu kesalahan itu berlaku. Lihatlah situasi dan keadaan. Gunakakan uslub yang boleh menawan hati dan jauhi dari cara
menegur yang membuatkan orang lari.

Jadikanlah Rasulullah s.a.w sebagai role model kita. Lihatlah bagaimana sewaktu baginda didatangi oleh
seorang lelaki yang meminta izin dari baginda untuk berzina. Lalu apakah respon baginda? Adakah Rasulullah mencerca atau memukul atau memaki-hamun lelaki tersebut? Bahkan Rasulullah bertanya
lelaki itu kembali, “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu?” Jawab lelaki itu: “Aku tidak suka ya Rasulullah,” Lantas baginda berkata dengan lembut:
“Begitu juga dengan orang lain, mereka jua tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita di
kalangan kerabat mereka.”

Itulah dia antara uslub Rasulullah menegur dan berdakwah kepada orang lain. Lalu mengapa kita
sering ketepikan tips-tips yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w? Kenapa kita sering ‘berkasar’ ketika
menegur saudara-saudari kita sesama muslim?

☆ Gunakan budaya menegur sebagai perantaraan untuk menambah kawan dan taulan bukan untuk mencari
musuh dan pergaduhan.


Warna baju dan tudung yang sesuai dengan anda

1. Warna pastel untuk semua, jika disalah pilih warna pastel, kita akan kelihatan 'jengkel' dengan apa jua pakaian yang digayakan.

2. Bagi yang mempunyai kulit kuning langsat, gayakan tudung dengan himpunan dari warna biru, lavender dan pink. Wajah nampak lebih menonjol dan terserlah. Elakkan
warna hijau dan kuning kerana ia membuatkan wajah tampak kusam.

3. Bagi yang mempunyai warna kulit putih, gayakan tudung dengan warna hijau, ungu, dan lavender. Ia membuatkan wajah kelihatan lebih segar. Warna merah jambu akan
membuat wajah bertambah pucat.

4. Kulit sawo matang sesuai dengan warna hijau dan kuning agar tampak lebih terang. Elakkan warna kelabu
dan yang agak gelap, agar wajah tidak kelihatan kusam.

5. Warna peach yang menyerlah untuk yang berkulit cerah.

6. Tudung tak semestinya harus dipadankan dengan warna
baju. Ia juga boleh dipadankan dengan warna aksesori.